Kelab Pencinta Haiwan Alor Gajah

Wednesday, March 17, 2004

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap bersantun
Bila mengampu bijak beralas tangan

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut
Biar mati adat
Jangan mati anak

Melayu di Tanah Semenanjung luas maknanya
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu,
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Aceh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,

Arab dan Pakistani semua Melayu,
Mamak dan Malbari serap ke Melayu,
Malah Mualaf bertakrif Melayu.

Dalam sejarahnya,
Melayu itu pengembara lautan,
Melorongkan jalur sejarah zaman,
Begitu luas daerah sempadan,
Sayangnya kini segala kehilangan.

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal Universiti
Masih berdagang di rumah sendiri

Berkelahi cara Melayu, menikam dengan pantun,
Menyanggah dengan senyum,
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silatulrrahim hati yang murni
Madah diungkap sentiasa disahut
Tangan dihulur sentiasa bersambut
Luka pun tidaklah lagi berparut
Baiknya hati Melayu itu tiada terbandingan
Segala yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan
"Dagang lalu nasi ditanakkan,
Suami pulang lapar tak makan,
Kera di hutan disusukan,
Anak di pangkuan mati kebuluran."

Bagaimanakah Melayu
Di abad dua puluh Satu
Masihkah tunduk tersipu-sipu ?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan

Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara merdeka.

Hasil Nukilan :
Dato' Dr. Usman Awang

luqman @ Wednesday, March 17, 2004 | |

Friday, March 12, 2004

Pertanyaan dan jawapan

Kenapa aku di uji?

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji org2 yg sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui org2 yg benar dan sesungguhnya Dia mengetahui org2 yg dusta."
-Surah Al-Ankabut ayat 2-3

Kenapa aku tak dapat apa-apa yang aku idamkan?

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh
jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah
mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."
-Surah Al-Baqarah ayat 216

Kenapa ujian seberat ini?

"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya."
-Surah Al-Baqarah ayat 286

Rasa frust?

"Jgnlah kamu bersikap lemah, dan jgnlah pula kamu bersedih hati, padahal
kamulah org2 yg paling tinggi darjatnya, jika kamu org2 yg beriman."
- Surah Al-Imran ayat 139

Bagaimana aku harus menghadapinya?

"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah- daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)."
-Surah Al-Imran ayat 200

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk"
-Surah Al-Baqarah ayat 45

Apa aku dapat dari semua ini?

"Sesungguhnya Allah telah membeli dr org2 mu'min, diri, harta mereka dengan
memberikan syurga utk mereka... ..
-Surah At-Taubah ayat 111

Kepada siapa aku berharap?

"Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain drNya. Hanya kepadaNya aku
bertawakkal."
-Surah At-Taubah ayat 129





luqman @ Friday, March 12, 2004 | |

Wednesday, March 10, 2004

Bush dan nuklear

'Sukakah saya cerita kepadamu tentang Dajal yang belum pernah dijelaskan oleh seorang Nabi kepada kaumnya. Sesungguhnya Dajal itu buta sebelah matanya dan ia akan membawa fitnah berupa syurga dan neraka, maka yang dikatakan syurga itu sebenarnya adalah neraka. (HR. Bukhori, Muslim dan Abu Hurairoh)' .


Bush menyebut lima kali perkataan Malaysia semasa mengulas isu nuklear baru-baru ini. Bagi orang-orang yang melihat kesungguhan Bush dalam memerangi pengganas kononnya dan mengawal kuasa nuklear negara-negara, terutamanya negara-negara umat islam, sedikit-sebanyak isu ini akan menggetarkan jiwa mereka.

Pak Lah dalam isu tersebut terpaksa menenangkan hati kaum cina di Malaysia dengan memberi keyakinan bahawa tiada sekatan ekonomi di buat oleh pihak Amerika Syarikat terhadap malaysia berhubung perkara ini. Kenapakah kita perlu takut? Mungkin jawapannya kerana kita sedia maklum polisi yang di jalankan oleh Amerika Syarikat di Iraq dan Afghanistan serta keangkuhan mereka di dalam merajai dunia dan kehebatan mereka memperkudakan PBB.

Bush pernah memberi kata dua kepada seluruh dunia tak lama dahulu:

'bersama kami ataupun bersama pengganas'

maksudnya ialah, bersama kami, kamu akan selamat dan jika kamu bersama pengganas lihat apa yang akan kami lakukan terhadap kamu nanti, cuba lihat Iraq sebagai permulaan, menderita akibat berbagai-bagai sekatan, sekatan makanan, ubat dan lain-lain sejak awal tahun 90-an lagi.

Ugutan ini suatu perkara yang besar kepada dunia, saya berminat untuk mengaitkan ugutan ini dengan hadith mengenai Dajal seperti di atas yang maksudnya, bersama kami adalah jaminan kesenangan dan bersama pengganas adalah ugutan penganiayaan dan kesusahan.

Saya mohon maaf sekiranya ada sahabat yang tidak bersetuju tetapi inilah pandangan saya. Bush dengan angkuh menawarkan syurga dan neraka kepada seluruh dunia secara serius dan hadith mengenai dajal membawa syurga dan neraka ini telah kita ketahui sejak dari kecil. Pasti ada yang membayangkan Dajal ini seorang raksasa dan membawa syurga serta neraka di tangan kanan dan kirinya.

Bagaimanapun, penglibatan anak Pak Lah dalam hal ini cukup membahayakan Malaysia, sehinggakan Malaysia perlu di sebut lima kali dalam ucapan Bush, bahaya ni Pak Lah, patutlah parlimen perlu di bubarkan segera untuk mengelakkan isu panas ini di bahaskan di parlimen.

luqman @ Wednesday, March 10, 2004 | |



Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris

The definition contains three important statements:

Osmosis is the passage of water from a region of high water concentration through a semi-permeable membrane to a region of low water concentration.

Osmosis is the passage of water from a region of high water concentration through a semi-permeable membrane to a region of low water concentration.

Osmosis is the passage of water from a region of high water concentration through a semi-permeable membrane to a region of low water concentration.


Saya mula mempelajari pengenalan kepada osmosis ketika di sekolah menengah, pembelajaran menggunakan bahasa melayu dan saya faham sehingga ke hari ini. Beberapa tahun, kemudian kali pertama mempelajari aplikasi tekanan osmosis(osmotic pressure) ialah sewaktu mempelajari fisiologi di universiti, notanya di dalam bahasa inggeris dan sehingga sekarang saya tidak faham apakah fungsinya di dalam masalah edema(bengkak) walaupun berkali-kali saya rujuk kamus dan mengimbas kembali makna asas kepada osmosis.

Katanya, a lowered concentration of of plasma proteins decreases the osmotic pressure, thereby permitting passage of abnormal amounts of fluid out of blood vessels and into the tissue spaces(sebahagian daripada nota)

Sudah tiga tahun barulah saya faham setelah di terangkan di dalam bahasa melayu:

Bila ada orang sakit buah pinggang, protein di dalam darah akan di keluarkan sekali dengan air kencing. Biasanya kalau buah pinggang sihat, protein tak dapat lalui penapisan. Kehilangan protein melalui air kencing akan menyebabkan darah akan kekurangan protein, darah akan cair. Kalau ikut mekanisma osmosis, air akan keluar daripada salur darah dan cuba menyeimbangkan kepekatan ceacir di dalam salur darah dan di luar salur darah(tisu badan). Sebab itulah badan orang sakit buah pinggang bengkak merata-rata, air keluar dari salur darah dan memenuhi ruang-ruang tisu(edema).

Bagi saya biarlah kemajuan ilmu sesuatu bangsa sebenarnya bertujuan memajukan bangsa dan negaranya serta dapat memberi khidmat kepada bangsa. Bukan untuk gah dan mulia di peringkat antarabangsa. Secara logiknya, penggunaan bahasa ibunda sesuatu bangsa itu lebih baik dalam memberi kefahaman kepada rakyat dan masih mengekalkan nilai-nilai kebudayaan bangsa selari dengan kemajuan ilmu. Para ilmuan yang menghasilkan karya dalam bahasa ibunda seperti ilmuan di German, Rusia dan jepun amat di yakini cuba menghasilkan sesuatu untuk kebaikkan bangsa mereka. Kita tidak mahu di jangkiti penyakit mahu mendapat nama di peringkat antarabangsa tetapi kita pun tidak tahu fungsinya untuk kebaikkan bangsa kita seperti berenang merentasi Selat Inggeris(Inggeris sahaja).

Tidak berguna jika kita gah dalam kehebatan ilmu dan penguasaan bahasa asing jika kehebatan itu tidak dapat menolong bangsanya sendiri, bahasa melayu paling mudah untuk memberi kefahaman kepada orang melayu, kenapa perlu bersusah payah bekerja keras memahami ilmu di dalam bahasa asing.

Kerajaan Islam silam pernah agung kerana kerja-kerja penterjemahan, kenapa kita tidak boleh?

luqman @ Wednesday, March 10, 2004 | |



Cuti semester bermula lagi

Biasanya bila mula cuti semester, perancangan untuk mengisi kekosongan cuti pun mula di buat. Seperti cuti-cuti yang lepas, perancangan yang telah di susun itu berupaya menukarkan diri yang lama kepada diri baru yang cemerlang, semua segi di fikirkan, jadual mingguan di atur, aspek rohani dan jasmani terutamanya di ambil kira untuk memastikan keazaman hijrah diri semasa cuti benar-benar membawa manfaat.

Malangnya, setiap kali buka semester yang baru, seluarpun baru, iaitu saiz seluar pun baru. Seluar lama terpaksa di simpan atau di wakafkan kepada yang sudi. Perkara ini terjadi pada setiap kali buka semester dan saya percaya kalau tiada perubahan di buat, saya dapat membayangkan apa yang akan terjadi pada saya dan perkara ini agak 'besar' bagi saya.

Jadi, lagi sekali saya berazam, cuti ini saya akan terus dengan apa-apa yang saya telah lakukan pada cuti-cuti lepas cuma cuti kali ini, perancangan itu terlaksana, InsyaAllah. Semalam, berbincangan dengan sahabat mengenai suatu isu politik yang serius tetapi akhirnya perbincangan di tutup dengan perkembangan terbaru komik Naruto. Ada beberapa lagi insiden sebegini terjadi di kalangan saya dan sahabat-sahabat, seringkali perkara yang serius kesudahan berakhir dengan perkara remeh, seringkali azam yang di buat berakhir dengan kelalaian yang tidak bererti.

Saya pun hairan, di mana datangnya ayat 'mahasiswa penggerak masyarakat' dan lain-lain?




luqman @ Wednesday, March 10, 2004 | |

Sunday, March 07, 2004

Bangun dari kegagalan

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya)"
An-Nisa' ayat 58

Bagi saya memberi nasihat juga merupakan suatu amanah dan meminta nasihat perlulah daripada yang ahli dalam sesuatu masalah yang kita alami. Orang yang pernah menerima kegagalan kemudiannya berharap akan bangkit semula, nasihat yang di berikan oleh orang yang pernah gagal dan kemudiannya berjaya lebih berguna daripada nasihat orang yang sentiasa berjaya.

Saya berkata begini kerana, bagi orang yang berjaya tidak memiliki ciri-ciri kegagalan dan tidak memahami psikologi orang yang gagal dan bukan ahli dalam merancang kejayaan daripada suatu kegagalan. Dalam konteks pelajar universiti, perancangan menaikkan purata nilai gred memerlukan suatu taktik yang kreatif yang hanya dapat di pelajari daripada abang/kakak senior yang pernah senasib.

Walaupun begitu, saya berasa ciri-ciri orang belajar kerana ilmu tetap berada di tangan orang yang sentiasa berjaya dan kritis di dalam pembelajaran. Itu sesuatu yang patut saya fikirkan, maka ambillah mana-mana yang baik dan tinggalkan mana-mana yang tidak baik, tanggungajawab orang yang menerima nasihat sepatutnya adalah begini. Em, inilah yang sebaik-baiknya.

Laman web kepada bakal ibu yang membenci kucing


luqman @ Sunday, March 07, 2004 | |

Saturday, March 06, 2004

En. Khairul dan Yakjud dan Makjud

Saya menerima e-mail daripada en. Khairul seperti di bawah:

assalamualaikum.

yakjuj dan makjuj tu kaum mongolia? diceritakan iskandar zulkarnain hanya membina tembok untuk menghalang makhluk ini keluar. adakah ini bermakna makhluk & tembok itu masih wujud?


saya cuba meneropong apakah persepsi en. Khairul mengenai yakjud dan makjud itu. En. Khairul menggunakan ayat 'makhluk ini'. Mungkinkah en. Khairul membayangkan suatu makhluk 'yang bukan manusia'.

Bagaimanapun perkara yakjud dan makjud ini di sebut di dalam Al-Quran dan merupakan isi keimanan kita, maka kajian perlulah mendalam. Saya ada satu buku mengenainya, tapi masih belum berpeluang membacanya. Insya Allah suatu masa nanti akan saya 'post' apa-apa hasil yang saya dapat.

bagaimanapun, fakta sejarah mengenai kaum tartar dan mongolia yang menyerang kerajaan-kerajaan islam dan hampir memusnahkan islam adalah fakta yang tepat.

luqman @ Saturday, March 06, 2004 | |



Sukarnya menulis

Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).

At-Taubah 24

Buat permulaan, biarlah ayat ini menjadi peringatan buat diri yang lemah.

luqman @ Saturday, March 06, 2004 | |